Allahu akbar!!!


Friday 25 May 2012

Konsep Jihad Dalam ISLAM!

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

      JIHAD adalah salah satu kewajipan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. kepada umat Islam di dalam kehidupan dunia ini sebaris dengan kewajipan lain seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Apabila ditinjau di dalam al-Quran terdapat lebih dari 70 ayat yang membicarakan tentang jihad pada jalan Allah. Ini merupakan satu petanda yang mengisyaratkan kepada kepentingan jihad dan keutamaannya di sisi Islam sebagai salah satu paksi utama di dalam menegakkan agama Islam.
Firman Allah S.W.T. dari surah al-Hajj ayat 78 yang bermaksud:
"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad. Dialah (Allah) yang telah memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan kesusahan dalam perkara agama..."

     Walaupun jihad merupakan antara tuntutan yang fardhu (wajib) ke atas umat Islam, namun umat Islam kini hampir melupakan tuntutan jihad ini dalam kehidupan mereka seharian. Kalaupun ada segelintir yang melaung-laungkan slogan jihad namun mereka tersalah tafsir atau menyempitkan ruang lingkup pengertian jihad dari pandangan Islam yang sebenarnya. Kesemua ini berpunca dari kejahilan umat Islam sendiri yang semakin jauh dari ajaran Islam. Akibatnya berlakulah perpecahan, kemunduran, kemiskinan dan sebagainya di kalangan umat Islam yang akhirnya membawa kepada kejatuhan dan kelemahan umat Islam itu sendiri. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan setiap individu muslim untuk kembali kepada ajaran Islam yang tulin sebagaimana yang disampaikan oleh baginda Rasulullah S.A.W. kepada umatnya. Jihad menurut pengertian Syara’ ialah berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat yang disasarkan dalam menegakkan agama Allah S.W.T. di atas muka bumi ini. Berdasarkan kepada pengertian tersebut jihad amat memerlukan pengorbanan daripada seseorang muslim sebagai bukti kepada keteguhan imannya dan kesungguhannya untuk merealisasikan cita-cita Islam. Perlu diingat pengorbanan tersebut bukan hanya sekadar mengorbankan nyawanya sahaja bahkan ianya juga merangkumi kesanggupan seorang muslim membelanjakan harta benda, menyerahkan tenaga, masa dan pemikirannya ke jalan Allah S.W.T.
Setengah ulama’ menggariskan lima jenis jihad seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah, iaitu:
  1. Jihad dengan ucapan
  2. Jihad dengan pendidikan.
  3. Jihad dengan kuasa pemerintahan.
  4. Jihad dengan politik.
  5. Jihad dengan harta benda.
    
     Sehubungan dengan itu, konsep jihad di dalam Islam amat luas pengertiannya. Ianya bukan hanya sekadar berjuang di medan peperangan untuk menegakkan agama Allah semata-mata malah jihad juga merangkumi perjuangan menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar, jihad melawan nafsu, berjihad menyatakan kebenaran Islam, berjihad menghapuskan kezaliman dan penindasan, berjihad menentang musuh-musuh Islam dan sebagainya. Pendek kata jihad dalam Islam meliputi segala usaha dan perjuangan yang menjuruskan kepada tertegaknya agama Allah S.W.T. sebagai teras utama yang mendasari kehidupan umat manusia sejagat. Perlu difahami bahawa konsep jihad juga ialah bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap perkara yang dapat meninggikan kalimat Allah S.W.T. dan agama-Nya. Ini bermakna kita mestilah membuktikan bahawa Islamlah yang paling mulia dan tinggi dari sekalian agama yang lain di dalam segala bidang. Usaha-usaha jihad ini adalah amat luas dan kemuncaknya ialah berdakwah dan berjuang di jalan Allah.
Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:
"Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim".

     Melihat kepada keadaan umat Islam kini, sebenarnya umat Islam wajib menghidupkan kembali Roh jihad dalam jiwa dan sanubari mereka kerana memandangkan mereka kini begitu jauh ke belakang dan ketinggalan dalam arus persaingan dunia tanpa sempadan. Ini adalah kerana usaha untuk memartabatkan kembali keunggulan Islam dalam semua lapangan hidup tidak dapat tidak jihad dan usaha yang bersungguh-sungguh semestinya digembelingkan di kalangan umat Islam agar segala perancangan ke arah kecemerlangan akan dapat dicapai akhirnya. Justeru itu, umat Islam perlu menginsafi bahawa kesempatan berjihad pada jalan Allah amat luas berdasarkan kepada kemampuan dan kesediaan yang ada pada setiap individu muslim. Sebagai contohnya, golongan yang berada dituntut mengorbankan harta bendanya. Golongan ulama’ dituntut berjihad dengan ilmu, tenaga dan masanya untuk kerja-kerja Islam di mana mereka sewajarnya aktif untuk berdakwah menyeru umat manusia ke arah menghayati dan beramal dengan Islam dalam kehidupan mereka. Bagi pihak yang berkuasa pula menyeru kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar serta berusaha untuk menyebarkan ajaran al-Quran dalam masyarakat, adalah termasuk juga di dalam erti kata jihad yang dituntut. Untuk mereka yang berjihad dengan harta benda, masa, tenaga dan fikiran, Allah S.W.T. telah menjanjikan ganjaran pahala yang besar dan mendapat hidayat petunjuk yang menyuluhi hidupnya ke jalan yang benar. Selain dari itu dia akan dimurahkan rezeki di dalam hidupnya dan juga dijamin selamat sejahtera di bawah perlindungan Allah di dunia dan di akhirat. Di samping itu juga terdapat golongan mukmin yang bersedia untuk mengorbankan jiwanya iaitu sanggup menggadaikan nyawanya demi mempertahankan kedaulatan dan kesucian Islam dari ancaman musuh. Jihad jenis inilah yang telah dijamin oleh Allah S.W.T. dengan ganjaran yang amat istimewa sebagaimana termaktub di dalam al-Quranul Karim. Antaranya penganugerahan mati syahid kepada mana-mana mukmin yang terkorban dengan niat tulus ikhlas kerana Allah S.W.T. di akhirat kelak mereka akan mendapat keampunan Allah di samping memperolehi kedudukan yang istimewa lagi mulia di sisi Allah S.W.T.
  Firman Allah dari surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan diri dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh syurga, disebabkan mereka berjihad di jalan Allah lalu mereka membunuh dan terbunuh, balasan syurga yang demikian itu sebagai janji benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam kitab Taurat dan Injil serta al-Quran, siapakah lagi yang lebih benar janjinya daripada Allah, oleh itu bergembiralah dengan jual beli yang kamu lakukan itu dan ketahuilah bahawa yang demikian itu adalah kemenangan yang besar."

     Tidak ketinggalan juga baginda Rasulullah S.A.W. pernah ditanya, Adakah amalan lain yang boleh menyamai jihad? Baginda menjawab: "Kamu tidak akan mampu menyamakannya. Mereka terus bertanya dan bertanya namun baginda Rasulullah S.A.W. masih mengatakan kamu tidak akan mampu menyamakannya. Pada kali ketiga lantas baginda Rasulullah S.A.W. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud:
"Perumpamaan orang yang berjuang pada jalan Allah adalah seumpama orang yang berpuasa yang bersolat di malam hari, berdiri dengan penuh tulus ikhlas beribadat kepada Allah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, dia tiada berhenti-henti bersolat dan berpuasa sehinggalah pejuang-pejuang kembali dari medan perjuangan."

    Perlu ditegaskan di sini bahawa jihad juga adalah bahan binaan kukuh yang mampu menjulang umat Islam ke arah keunggulan dan kecemerlangan dalam pelbagai lapangan hidup sebagaimana Firman Allah dari Surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud:
"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana Kami (Allah), sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang melakukan kebaikan."

    Generasi Rasulullah S.A.W. dan para sahabat merupakan tauladan terbaik dalam hal ini di mana semangat jihad di sanubari mereka sentiasa berkobar-kobar untuk berjuang di jalan Allah S.W.T. Mereka sentiasa mara ke hadapan menungkah arus yang merentangi mereka dan tidak berganjak ke belakang walaupun selangkah di dalam perjuangan. Dengan berbekalkan keimanan yang kental, semangat jihad yang membara dan kesatuan yang utuh, para sahabat mampu merentasi padang pasir yang kering kontang, mampu menggalas senjata menewaskan bilangan musuh yang jauh lebih ramai berbanding dengan bilangan mereka, dan akhirnya mereka mampu mencipta era kegemilangan Islam. Rahsia kejayaan generasi silam tidak lain dan tidak bukan ialah kerana berbekalkan keimanan yang tulus, semangat jihad yang membara di jiwa di samping kesatuan erat yang terjalin di kalangan umat Islam. Mereka bersatu hati, bermuafakat, bertoleransi dan berdaya juang dalam kehidupan mereka. Oleh sebab itulah generasi terdahulu berupaya bangkit sebagai umat yang terbaik dalam sejarah peradaban manusia.

    Demikianlah Islam telah mensyariatkan jihad kepada umatnya agar mereka mampu melonjakkan diri mereka sebagai umat yang terbaik dan umat contoh dalam pelbagai lapangan kehidupan sejagat. Dengan jihad juga umat Islam akan dapat merealisasikan cita-cita Islam yang sebenarnya iaitu menegakkan khilafat Islamiyah di atas muka bumi ini.
Firman Allah dari surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:
"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedangkan peperangan itu ialah perkara yang kamu benci, dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu pada hal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu pada hal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya) sedang kamu tidak mengetahuinya."

wallahua'lam.

(Sumber: Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu)

2 comments:

  1. teruskan jihad kerana allah, smoga terus istiqamah d atas jalan perjuangan..salam mujahadah buat sang mujahidah sejati :)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah. teruskan perjuangan:)

    ReplyDelete