Allahu akbar!!!


Saturday 26 May 2012

Buat Bakal Mujahid ku...


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...Kumulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini. Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah. ”Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu..”Wanita solehah idaman mujahid soleh yang malunya menjadi perisai dirinya, yang zikirnya menjadi penawar dirinya; tak gentar di acah mehnah duniawi kerana dia rindukan wangian syurgawi, dia berpegang pada janji yang terpatri di lubuk hati. Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini. Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh mama dan abah. Tiada harta untuk kupersembahkan, hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata .""Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (Rum: 21) Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua aku di bawah pengawasan Allah sebagai penjaga mutlak diriku. Aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam as dan bonda Hawa a.s, sama seperti mu. ”... maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri...” (Ali Imran : 159-160) .Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata. Aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada Penciptanya yang   agung. Pendirianku...pernikahanku akan ku jadikan medan pencarian ilmu agama sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini. Aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, suamiku dan anak-anak untuk dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa. Aku bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana yang dijanjikan Rasul, " Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya."(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih) Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan. ""Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”(An Nisaa’ : 1) Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An-Nissa':34) Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam QalamNya yang mulia. Aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku. Jadikanlah suatu pernikahan itu sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya. Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah. Aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas kahwin yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah Qalam Mulia, Al-Quran, dan hadis-hadis Nabawi kerana aku meyakini bahawa Qalam itu mampu memimpin rumahtanggaku dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara. Jua tidak ternilai harga maruah diriku untuk dibanding dengan nilai wang ringgit atau nilai duniawi. Selaras jua dengan hadis Nabi, aku mahu jadi wanita yang punya barokah.“Seorang wanita yang penuh barakah dan mendapat anugerah Allah adalah yang maharnya murah, mudah menikahinya, dan akhlaknya baik. Sebaliknya, wanita yang celaka adalah yang mahal maharnya, sulit menikahinya, dan buruk akhlaknya”Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan. Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak.Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini. Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu..amin Wahhab,amin ya Rabbal a’lamin!...wallahua'lam.




Kemenangan Adalah Milik ALLAH! ALLAHU AKBAR!!!

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Kemenangan adalah milik Allah. Jika Dia belum mahu memberikannya kepada kita, maka kita takkan pernah memperolehnya. Kita selalu tertipu. Merasakan bahawa kemenangan itu milik kita, hak kita, bahawa dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan, kita pasti menang. Sehinggakan kita terkeliru, tersilau mata. Memfokuskan kepada kemenangan, bukan pada amal dakwah yang berterusan.
Kita harus memahami realiti dakwah. Ia bersifat Robbani. Kita menyeru manusia kepada Allah, menegakkan hukum-hukum Allah. Dakwah ini bukan milik kita, ia adalah amanah. Amanah yang wajib kita sandarkan kepada-Nya. Apabila Dia menentukan bahawa sudah tiba masanya kita menang, maka pasti tidak ada yang dapat menghalang. Jika masih belum nampak bibit-bibit kemenangan, kita harus terus beramal dan berjihad tanpa sedikitpun meragui akan kehendak Allah.Maka kemenangan, adalah sebuah anugerah Allah. Apabila Allah memberikannya kepada kita, itu bererti sudah selayaknya kita memperolehnya. Jika belum, ertinya kita belum layak memperolehnya. Boleh jadi kesediaan kita belum cukup untuk menggalas segala amanah-amanah pasca kemenangan tersebut. Maka masa, bukanlah sebuah indikator sesebuah kemenangan. Sekalipun sebuah perjuangan itu memakan masa puluhan tahun, bahkan ratusan tahun, belum menjadi penguat bahawa kita harus menang kerana ia adalah sebuah ketentuan Allah!

Kita tahu bahawa kita bukan pemula sebuah perjuangan menegakkan agama Allah. Kita adalah penerus kepada tali-tali rantainya. Dan hujungnya belum tentu kita. Kita mungkin akan bisa merasa kemenangan tersebut, atau kita mungkin mati sebelum tertegak agama ini di seluruh pelusuk bumi. Apa yang paling penting, kita mengambil posisi penerus dakwah yang tidak kenal henti berjuang dan tidak menggantungkan usaha kepada hasil.

Taujih Robbani itu selalu menyeru kita agar ikhlas dalam perjuangan. Tidak merasa besar dengan amal kita, tidak menggantungkan kekuatan pada jumlah kita. Lihat sahaja dalam kisah perang Hunain ketika Umat Islam itu ramai, namun Allah memberikan pelajaran dengan menangguhkan kemenangan untuk Umat Islam. Firman Allah:


"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu diwaktu kamu menjadi bongkak karana banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai." [At-Taubah: 25]

Sudah tiba masanya kita tidak bermain-main dalam melaksanakan dakwah kerana Allah. Ketika Allah memilih kita untuk diberikan nikmat besar ini, janganlah kita mengabaikan dan menolaknya lalu menjadikannya sebagai tugas sampingan. Takut-takut apabila sampai masa kemenangan, kita tidak berada bersama-sama dalam angkatan yang memperjuangkannya.Bersyukurlah, apabila Allah terus memberikan kesempatan dan ruang untuk kita beramal. Jangan dirisaukan akan kemenangan dan jangan dijadikan ia pelemah kepada amal, kerana KEMENANGAN ADALAH MILIK ALLAH!


"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat". [An-Nasr: 1-3]

Kemenangan besar yang kita semua inginkan adalah kita mati dalam keadaan Allah meredhai kita, bahkan lebih istimewa kita gugur ketika sedang melaksanakan tugas-tugas dakwah.
Subahanallah...Alhamdulillah..Allahu akbar!!!




wallahua'lam.


Friday 25 May 2012

Membawa Kebenaran Memang Payah...

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...



Membawa kebenaran itu memang payah
Namun...
Jika hati itu telah menjadi milik Allah
Maka tiada lagi kegundahan jiwa.

Bukan mudah...
Yang penting walau apa pun persepsi manusia
Selagi Al-Quran dan As-Sunnah menjadi benteng kehidupan,
Juga...
Solat lima waktu ditegakkan dengan penuh kehambaan

Pasti...
Pasti akan Allah s.w.t. tunjukkan jalan.
Ambillah insan...
Pengalaman hidup yang dilalui sebagai pengajaran

Namun...
Kesedaran yang Allah ilhamkan
Mampu menggoncangkan hati dan iman

Sungguh...
Bukan mata yang buta tapi hati di dada
Beruzlahlah kelak kan kau temui hikmah
Bersabarlah sesungguhnya itu adalah tarbiyah Allah

Bersihkanlah....
Segala persepsi yang membelenggu dirimu
Aku hanya berpesan
Untuk sama seiring sejalan menuju Tuhan

Yakinlah...
Sungguh Allah itu dekat
Mengapa tidak kau rasainya

Apakah manusia telah lupa?
Setelah ia merasakan kecukupan dalam kehidupan
Ia sombong pada Tuhan...
Ia lupa...
Siapa yang membukakan matanya selama ini?
Siapa yang memberikan rezekinya selama ini?
Siapa?
Kalau bukan Tuhan...
Tapi kenapa manusia lupa...

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia (yang bertakwa) kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatan (kebaikannya). Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka ketahuilah Allah Mahat Teliti terhadap segala apa yang kamu kerjakan." (An-Nisa,4:135)

"Dan inilah jalan Tuhanmu yang lurus. Kami telah menjelaskan ayat-ayat (Kami) kepada orang-orang yang menerima peringatan." (Al-An'am,6:126)

Konsep Jihad Dalam ISLAM!

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

      JIHAD adalah salah satu kewajipan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. kepada umat Islam di dalam kehidupan dunia ini sebaris dengan kewajipan lain seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Apabila ditinjau di dalam al-Quran terdapat lebih dari 70 ayat yang membicarakan tentang jihad pada jalan Allah. Ini merupakan satu petanda yang mengisyaratkan kepada kepentingan jihad dan keutamaannya di sisi Islam sebagai salah satu paksi utama di dalam menegakkan agama Islam.
Firman Allah S.W.T. dari surah al-Hajj ayat 78 yang bermaksud:
"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad. Dialah (Allah) yang telah memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan kesusahan dalam perkara agama..."

     Walaupun jihad merupakan antara tuntutan yang fardhu (wajib) ke atas umat Islam, namun umat Islam kini hampir melupakan tuntutan jihad ini dalam kehidupan mereka seharian. Kalaupun ada segelintir yang melaung-laungkan slogan jihad namun mereka tersalah tafsir atau menyempitkan ruang lingkup pengertian jihad dari pandangan Islam yang sebenarnya. Kesemua ini berpunca dari kejahilan umat Islam sendiri yang semakin jauh dari ajaran Islam. Akibatnya berlakulah perpecahan, kemunduran, kemiskinan dan sebagainya di kalangan umat Islam yang akhirnya membawa kepada kejatuhan dan kelemahan umat Islam itu sendiri. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan setiap individu muslim untuk kembali kepada ajaran Islam yang tulin sebagaimana yang disampaikan oleh baginda Rasulullah S.A.W. kepada umatnya. Jihad menurut pengertian Syara’ ialah berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat yang disasarkan dalam menegakkan agama Allah S.W.T. di atas muka bumi ini. Berdasarkan kepada pengertian tersebut jihad amat memerlukan pengorbanan daripada seseorang muslim sebagai bukti kepada keteguhan imannya dan kesungguhannya untuk merealisasikan cita-cita Islam. Perlu diingat pengorbanan tersebut bukan hanya sekadar mengorbankan nyawanya sahaja bahkan ianya juga merangkumi kesanggupan seorang muslim membelanjakan harta benda, menyerahkan tenaga, masa dan pemikirannya ke jalan Allah S.W.T.
Setengah ulama’ menggariskan lima jenis jihad seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah, iaitu:
  1. Jihad dengan ucapan
  2. Jihad dengan pendidikan.
  3. Jihad dengan kuasa pemerintahan.
  4. Jihad dengan politik.
  5. Jihad dengan harta benda.
    
     Sehubungan dengan itu, konsep jihad di dalam Islam amat luas pengertiannya. Ianya bukan hanya sekadar berjuang di medan peperangan untuk menegakkan agama Allah semata-mata malah jihad juga merangkumi perjuangan menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar, jihad melawan nafsu, berjihad menyatakan kebenaran Islam, berjihad menghapuskan kezaliman dan penindasan, berjihad menentang musuh-musuh Islam dan sebagainya. Pendek kata jihad dalam Islam meliputi segala usaha dan perjuangan yang menjuruskan kepada tertegaknya agama Allah S.W.T. sebagai teras utama yang mendasari kehidupan umat manusia sejagat. Perlu difahami bahawa konsep jihad juga ialah bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap perkara yang dapat meninggikan kalimat Allah S.W.T. dan agama-Nya. Ini bermakna kita mestilah membuktikan bahawa Islamlah yang paling mulia dan tinggi dari sekalian agama yang lain di dalam segala bidang. Usaha-usaha jihad ini adalah amat luas dan kemuncaknya ialah berdakwah dan berjuang di jalan Allah.
Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:
"Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim".

     Melihat kepada keadaan umat Islam kini, sebenarnya umat Islam wajib menghidupkan kembali Roh jihad dalam jiwa dan sanubari mereka kerana memandangkan mereka kini begitu jauh ke belakang dan ketinggalan dalam arus persaingan dunia tanpa sempadan. Ini adalah kerana usaha untuk memartabatkan kembali keunggulan Islam dalam semua lapangan hidup tidak dapat tidak jihad dan usaha yang bersungguh-sungguh semestinya digembelingkan di kalangan umat Islam agar segala perancangan ke arah kecemerlangan akan dapat dicapai akhirnya. Justeru itu, umat Islam perlu menginsafi bahawa kesempatan berjihad pada jalan Allah amat luas berdasarkan kepada kemampuan dan kesediaan yang ada pada setiap individu muslim. Sebagai contohnya, golongan yang berada dituntut mengorbankan harta bendanya. Golongan ulama’ dituntut berjihad dengan ilmu, tenaga dan masanya untuk kerja-kerja Islam di mana mereka sewajarnya aktif untuk berdakwah menyeru umat manusia ke arah menghayati dan beramal dengan Islam dalam kehidupan mereka. Bagi pihak yang berkuasa pula menyeru kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar serta berusaha untuk menyebarkan ajaran al-Quran dalam masyarakat, adalah termasuk juga di dalam erti kata jihad yang dituntut. Untuk mereka yang berjihad dengan harta benda, masa, tenaga dan fikiran, Allah S.W.T. telah menjanjikan ganjaran pahala yang besar dan mendapat hidayat petunjuk yang menyuluhi hidupnya ke jalan yang benar. Selain dari itu dia akan dimurahkan rezeki di dalam hidupnya dan juga dijamin selamat sejahtera di bawah perlindungan Allah di dunia dan di akhirat. Di samping itu juga terdapat golongan mukmin yang bersedia untuk mengorbankan jiwanya iaitu sanggup menggadaikan nyawanya demi mempertahankan kedaulatan dan kesucian Islam dari ancaman musuh. Jihad jenis inilah yang telah dijamin oleh Allah S.W.T. dengan ganjaran yang amat istimewa sebagaimana termaktub di dalam al-Quranul Karim. Antaranya penganugerahan mati syahid kepada mana-mana mukmin yang terkorban dengan niat tulus ikhlas kerana Allah S.W.T. di akhirat kelak mereka akan mendapat keampunan Allah di samping memperolehi kedudukan yang istimewa lagi mulia di sisi Allah S.W.T.
  Firman Allah dari surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan diri dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh syurga, disebabkan mereka berjihad di jalan Allah lalu mereka membunuh dan terbunuh, balasan syurga yang demikian itu sebagai janji benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam kitab Taurat dan Injil serta al-Quran, siapakah lagi yang lebih benar janjinya daripada Allah, oleh itu bergembiralah dengan jual beli yang kamu lakukan itu dan ketahuilah bahawa yang demikian itu adalah kemenangan yang besar."

     Tidak ketinggalan juga baginda Rasulullah S.A.W. pernah ditanya, Adakah amalan lain yang boleh menyamai jihad? Baginda menjawab: "Kamu tidak akan mampu menyamakannya. Mereka terus bertanya dan bertanya namun baginda Rasulullah S.A.W. masih mengatakan kamu tidak akan mampu menyamakannya. Pada kali ketiga lantas baginda Rasulullah S.A.W. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud:
"Perumpamaan orang yang berjuang pada jalan Allah adalah seumpama orang yang berpuasa yang bersolat di malam hari, berdiri dengan penuh tulus ikhlas beribadat kepada Allah dengan membaca ayat-ayat al-Quran, dia tiada berhenti-henti bersolat dan berpuasa sehinggalah pejuang-pejuang kembali dari medan perjuangan."

    Perlu ditegaskan di sini bahawa jihad juga adalah bahan binaan kukuh yang mampu menjulang umat Islam ke arah keunggulan dan kecemerlangan dalam pelbagai lapangan hidup sebagaimana Firman Allah dari Surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud:
"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana Kami (Allah), sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang melakukan kebaikan."

    Generasi Rasulullah S.A.W. dan para sahabat merupakan tauladan terbaik dalam hal ini di mana semangat jihad di sanubari mereka sentiasa berkobar-kobar untuk berjuang di jalan Allah S.W.T. Mereka sentiasa mara ke hadapan menungkah arus yang merentangi mereka dan tidak berganjak ke belakang walaupun selangkah di dalam perjuangan. Dengan berbekalkan keimanan yang kental, semangat jihad yang membara dan kesatuan yang utuh, para sahabat mampu merentasi padang pasir yang kering kontang, mampu menggalas senjata menewaskan bilangan musuh yang jauh lebih ramai berbanding dengan bilangan mereka, dan akhirnya mereka mampu mencipta era kegemilangan Islam. Rahsia kejayaan generasi silam tidak lain dan tidak bukan ialah kerana berbekalkan keimanan yang tulus, semangat jihad yang membara di jiwa di samping kesatuan erat yang terjalin di kalangan umat Islam. Mereka bersatu hati, bermuafakat, bertoleransi dan berdaya juang dalam kehidupan mereka. Oleh sebab itulah generasi terdahulu berupaya bangkit sebagai umat yang terbaik dalam sejarah peradaban manusia.

    Demikianlah Islam telah mensyariatkan jihad kepada umatnya agar mereka mampu melonjakkan diri mereka sebagai umat yang terbaik dan umat contoh dalam pelbagai lapangan kehidupan sejagat. Dengan jihad juga umat Islam akan dapat merealisasikan cita-cita Islam yang sebenarnya iaitu menegakkan khilafat Islamiyah di atas muka bumi ini.
Firman Allah dari surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:
"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedangkan peperangan itu ialah perkara yang kamu benci, dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu pada hal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu pada hal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya) sedang kamu tidak mengetahuinya."

wallahua'lam.

(Sumber: Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu)

Sunday 13 May 2012

Sekuntum Mawar Berduri

Bismillahirrahmaanirrahim...

Alhamdulillah, setinggi kesyukuranku ke hadrat  Allah SWT kerana membantu ku dalam usaha menyiapkan satu lagi blog. Kalau blog yang sebelum ini banyak melampirkan artikel-artikel yang lebih bersifat umum. InsyaAllah, untuk perkongsian dalam blog kali ini, ku ingin berkongsi lebih kepada suatu penghayatan hati, nurani, jiwa dan fikiran seorang muslimah yang bermusafir di muka bumi Allah ini dengan penuh tabah, cekal dan bersemangat dalam mendepani pelbagai mehnah dan ujian dalam hidupnya demi menggapai redha dan cinta Allah yang Maha Agung.

Dalam selitan kisah suka duka, tangis dan tawa jiwa seorang muslimah, ku ingin berkongsi juga kisah-kisah teladan Serikandi-serikandi Islam pada zaman para sahabat Rasulullah s.a.w yang telah berjaya memainkan peranan mereka dalam usaha untuk mengangkat martabat agama Islam hingga zalam kegemilangan Islam suatu ketika dulu.

 Bagaimana mereka wanita muslimah begitu tabah, cekal dan tidak pernah mengenal erti penat lelah demi untuk perjuangan Islam yang tercinta ini. Muslimah sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam dunia Jihad seorang Mukmin dalam memastikan tertegaknya agama Allah di atas muka bumi ini. Seorang muslimah yang benar-benar menghayati 'Dunia Dakwah' pastinya tidak akan sesekali berundur ke belakang walau mehnah menempah dirinya. Baginya, itulah kemanisan Syurga yang didambanya.

'Pahitnya Perjuangan, manisnya Syurga yang menanti di sana'.

Seorang muslimah yang mampu berdiri atas prinsip keteguhan imannya tidak sesekali berganjak atas apa yang dipegangnya, yakni CINTA ALLAH dan RASULULLAH. Itulah dasar segala-galanya. Bilamana itu menjadi prinsip dalam hidupnya, biarlah di'campak' ke mana pun, dia tegar dengan siapa dirinya.

Tiada siapa yang tahu bilakah muslimah ini menangis, ketawa, ceria dan benarnya dalam bahagia. Kerana muslimah itu terlalu tabah. Dia tidak sesekali membiarkan kekecewaan, air matanya dilihat di mata insan lain. Baginya, cukuplah Allah yang Maha Mengetahui setiap apa yang dideritanya. Ketawanya, senyumnya dan bahagianya terkadang menjadi hijab lelah yang dilaluinya. Baginya, dia tidak mahu lelahnya dalam berjuang mempengaruhi kehidupan sehariannya. Cukuplah pengaduan hanya pada yang Maha Esa bila hati ikhlas keranaNya.

Sebagai pengakhiran, ketahuilah wahai sahabat2 seperjuanganku...

Muslimah ini bukan seorang wanita biasa..
Dirinya terlalu istimewa..
Sukar didekati dan difahami oleh mana-mana lelaki..
Dirinya terlalu 'mahal' untuk 'dibeli'...
Sifat dan perasaannya sukar untuk manusia biasa menjiwai..
Muslimah ini seringnya insan lain akan melihatnya sebagai seorang yang 'pelik'..
Mungkin 1 dalam 100 orang, dia ada di celahnya..
Namun, sukar untuk dikenal pasti..
kerana dia sering 'menyorok diri'..
Cintanya sukar untuk dimiliki oleh mana-mana lelaki..
Tapi, beruntung sekali yang berjaya menjadikannya seorang isteri..
sebagai pendamping hidup untuk kekal abadi..
yang punyai matlamat yang sama dengannya..
dalam 'Dunia Dakwah' demi meraih Syurga Ilahi..

Cinta Allah,
Cinta Rasulullah,
Cintakan ISLAM
demi Cinta Syurga yang pastinya kekal selamanya....





wallahua'lam.